TERKINI DI ASWAN AZMY BLOG

Saturday, August 3, 2013

Tiket bas sempena Aidilfitri habis dijual



KUALA TERENGGANU – Kebanyakan kaunter bas di terminal bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hanya menjual tiket bagi bas tambahan berikutan tiket bas sedia ada habis dijual pertengahan Ramadan lalu.

Pengurus SP Bumi Terengganu, Muda Hamid berkata, tiket bas tambahan itu mula dijual dua minggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas perayaan.

Bagaimanapun katanya, tiket tersebut tidak banyak, malah ada yang hanya mempunyai tujuh hingga lapan yang masih kosong.

Menurutnya, syarikat bas akan berusaha membantu penumpang yang mahu pulang ke destinasi yang jauh.

Beliau turut memberi jaminan tiket bas tambahan dijangka mencukupi sehingga berakhirnya musim perayaan.

“Sebelum dan selepas Aidilfitri, semua tiket bagi bas sedia ada telah habis dijual. Bermula jam 9 malam pada 9 Ogos 2013 iaitu pada hari raya kedua hingga 18 Ogos 2013, tiket semua telah terjual.

“Kita mengeluarkan bas tambahan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Setakat ini, kita mempunyai dua hingga tiga bas untuk semua destinasi terutama ke utara, Kuala Lumpur, Kajang, Seremban, ke Kota Bharu dan Kemaman biasa ada,” katanya.

Muda berkata, setakat ini masalah yang sering dihadapi ialah penumpang lewat tiba di terminal bas walaupun telah tertera waktu bas bergerak pada tiket supaya mereka bersedia awal bagi mengelak tertinggal.

“Kita bimbang ada penumpang yang akan tertinggal, disebabkan sekarang musim perayaan, kita perlu bergerak awal dan pada waktu yang ditetapkan untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

“Jadi, saya nasihatkan kepada semua penumpang supaya bersedia lebih awal dan tiba di terminal bas sebelum bas bergerak.

"Memang kita akan sentiasa membantu mereka sekiranya ada yang tertinggal bas dengan memberi mereka naik bas berikutnya yang menuju ke haluan yang sama,” katanya.

Sementara itu, kerani kaunter tiket Shamisha Ekspress yang mahu dikenali sebagai Salmah berkata, tiket bas dari Kuala Terengganu ke semua destinasi selepas Aidilfitri bermula 10 hingga 12 Ogos telah habis dijual.

“Setakat ini kami hanya menjual tiket bas tambahan sahaja, tiket bas biasa telah habis dan saya rasa situasi yang sama turut berlaku di kaunter tiket bas lain.

“Kebanyakan yang membeli tiket ialah pelajar dan bagi mengelak tempat duduk tidak digunakan dalam satu-satu perjalanan, kita tidak menerima tempahan tiket, kita hanya menjual tiket secara langsung kepada penumpang,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment