TERKINI DI ASWAN AZMY BLOG

Monday, August 19, 2013

SPAD Kaji Penyedian Rel Keretapi Kuala Lumpur - Pantai Timur


KUALA TERENGGANU 18 Ogos - Penduduk Pahang, Terengganu dan Kelantan menerima khabar gembira apabila Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mengkaji kemungkinan akan menyediakan perkhidmatan sistem rel untuk lokomotif menghubungkan Kuala Lumpur ketiga-tiga negeri itu.

Ketua Bahagian Pembangunan SPAD, Azmi Abdul Aziz berkata, perancangan melaksanakan projek laluan landasan itu memang terdapat dalam pelan utama suruhanjaya berkenaan untuk manfaat tiga negeri tersebut.

Menurutnya, berdasarkan faktor demografi pula, laluan rel atau landasan seumpama itu hanya menghubungkan negeri-negeri sebelah utara ke selatan Semenanjung sedangkan untuk ke Pantai Timur tidak wujud disebabkan halangan kawasan pergunungan.

"Kalau tengok dalam laman web kita, kita ada perancangan dan memang ada laluan ke negeri tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2013 SPAD Wilayah Timur di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua SPAD Wilayah Timur, Nik Aminuddin Nik Shahar Shah.

Azmi seterusnya memberi jaminan, pihaknya mengemukakan perkara itu kepada kerajaan dan pelaksanaannya kelak berkemungkinan akan mengambil tempoh masa agak lama dan secara berperingkat.

Beliau menjelaskan, hasil kajian SPAD juga mendapati projek berkenaan mampu memberi manfaat kepada para penduduk dan juga sektor pelaburan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Berasaskan kajian, katanya, laluan rel itu bermula dari Kuala Lumpur yang akan menempuh Banjaran Titiwangsa, seterusnya menghubungkan Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

"Kita sedia maklum, sekarang ada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), ramai pelabur datang ke Pantai Timur dan pastinya lebih meyakinkan para pelabur domestik dan asing selain membantu meningkatkan lagi potensi pelaburan di tiga negeri tersebut," katanya.


Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment