TERKINI DI ASWAN AZMY BLOG

Saturday, November 9, 2013

Apa itu Selfie? - Syok sendiri

Selfie adalah singkatan kepada gabungan perkataan potret diri sendiri (self-potrait). ‘Selfie’ juga merujuk kepada perbuatan suka mengabadikan gambar sendiri yang ditangkap tanpa bantuan orang lain. Perbuatan ini bukanlah dikategorikan sebagai salah, tetapi apabila semakin ramai yang gemar ‘selfie’ walau di tempat tak sepatutnya, ia agak menjengkelkan. 

Tabiat suka tangkap gambar sendiri ini ibarat virus kerana sudah merebak kepada semua golongan. Tak kiralah, anak gadis, mak cik, pak cik, ibu bapa atau saudara-mara, gambar ‘selfie’ boleh dikatakan wajib ada dalam akaun laman sosial masing-masing. 

Selfie boleh dikategorikan sebagai tabiat yang sukar dimengertikan. Sehingga ke hari ini, bukan saja wanita yang mahu tonjolkan penampilan dan paras rupa seharian, tetapi kaum lelaki juga tidak mahu ketinggalan malah ada di antaranya lebih obses berbanding wanita. 

Bergambar di depan cermin


Bergaya dan menangkap gambar di depan cermin adalah budaya baru dan ibarat lokasi wajib untuk ‘selfie’. Paling banyak dilihat adalah ‘selfie’ di depan cermin tandas awam berbanding rumah sendiri. Kenapa perlu tandas awam? Faktor cermin yang besar hingga menampakkan keseluruhan tubuh membuatkan ia jadi pilihan ramai. Jangan menuding jari kepada satu golongan saja, si jejaka juga tak kurang hebatnya. 

Antara lokasi lain yang menjadi pilihan termasuklah dalam kereta, di tempat kerja, atas katil sebelum tidur atau di kedai makan.

Duckface 


Duckface merujuk kepada pose memuncungkan mulut seperti itik. Dengan bibir yang dimuncungkan, ada beranggapan ia boleh menampakkan tulang pipi sekali gus membuatkan wajah si ‘selfie’ kelihatan berbentuk bujur dan tidak terlalu bulat. 

Mungkin faktor itulah membuatkan gaya ini menjadi ‘trademark’ si gadis apatah lagi apabila bibir diwarnakan dengan gincu warna terang. Cukup menggoda! Jangan terkejut apabila ada juga lelaki sukakan gaya ini apatah lagi apabila ‘selfie’ beramai-ramai dengan rakan wanita. 

Selain posisi biasa, gaya rakam gambar daripada sisi atas kepala juga antara pilihan. Dipercayai, ia boleh buatkan wajah seseorang khususnya berbentuk bulat kelihatan muncung tirus selain boleh sembunyikan lemak di bawah dagu. 

Kredit: GenY Metro

9 comments: