Friday, August 2, 2013

Warga Emas Mangsa Mercun

KOTA BHARU: Padah mencuba menyalakan mercun bola yang ditemui di luar rumah, seorang bapa tunggal empat anak cedera di tangan kiri dan badan, malah mengalami masalah pendengaran apabila mercun itu tiba-tiba meletup ketika dinyalakan sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Lubok Jong, Pasir Mas di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Abdul Rasid Abdullah, 55, dipercayai mangsa mercun tertua di negara ini dibawa ke Hospital Pasir Mas oleh jirannya sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil 
Menceritakan kembali kejadian itu, Abdul Rasid berkata, sebelum kejadian, dia bersendirian di hadapan rumahnya dan ketika berjalan-jalan dia menemui sebiji mercun bola yang masih mempunyai sumbu.

Katanya, dia mengambil mercun itu dan memeriksanya sama ada ia masih boleh digunakan atau sudah rosak.

"Saya menyalakan mercun itu kerana ingin menguji sama ada ia masih elok atau rosak.

"Bagaimanapun, sejurus saya menyalakannya, ia tiba-tiba meletup di tangan sebelum sempat dilempar," katanya.

Menurutnya, dia hanya mampu mengerang kesakitan dan melihat tangan kiri dan badan berlumuran darah.

"Tidak lama kemudian seorang jiran datang membawa saya ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.

"Alhamdulillah, saya semakin pulih dan dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga," katanya.

Sementara itu, anak bongsunya, Hafizuddin, 19, berkata, ketika kejadian dia berada di sekolah sebelum dimaklumkan mengenai kejadian menimpa ayahnya oleh sepupunya.

"Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu saya segera pulang ke rumah untuk melihat keadaan ayah.

"Syukurlah keadaannya tidak parah dan hanya perlu menjalani rawatan pada bahagian badan dan tangan kiri," katanya.

Sehingga kini, Kelantan mencatat lima mangsa mercun dengan Ahmad Fuad Jaafar, 27, dari Kampung Salor, dekat sini, yang cedera di tangan kiri pada 13 Julai lalu menjadi mangsa pertama mercun.

Pada 24 Julai lalu pula, Muhammad Nor Hakim Mohd Nawi, 11, cedera di mata kanan dan menerima beberapa jahitan pada kiri mulut selepas cubaannya menghasilkan percikan bunga api dengan mencipta formula menggabungkan belerang, pasir dan mercun bola di dalam botol plastik meletup sebaik dinyalakan dalam kejadian di Kota Bharu.

Selepas itu, pada 26 Julai, di Tanah Merah, akibat kreatif tidak bertempat, Muhammad Arish Irfan Che Omar, 13, terpaksa menanggung azab apabila serpihan besi pelita panjut tertanam di dalam perutnya, selain terpaksa menerima lebih 15 jahitan di tangan kiri selepas usaha meletupkan mercun buatan sendiri menggunakan belerang mercun bola yang diisi ke dalam pelita panjut tidak menjadi.

Tiga hari kemudian, pada 29 Julai, di Pasir Puteh, seorang pelajar tingkatan empat, Mohd Arif Che Rashid, 16, cedera di muka dan tangan kanan ketika cuba membuang mercun bola yang dibaling ke dalam raga motosikalnya akibat perbuatan nakal seseorang, dalam kejadian di luar kawasan sekolah di Kampung Bukit Yong.
Sumber : Metro

4 comments:

  1. Takutnyaa..bahayala mercun2 ni..hmm

    ReplyDelete
  2. yang last tu kesian. mangsa buli tapi yang dia nak pergi keluarkan mercun tu buat apa. biar jela. patutnya dia lagi jer.

    ReplyDelete